Tuesday, May 22, 2012

DIKTATOR DAN EKONOMI DUNIA - BAHAGIAN PERTAMA


Dunia kini menyaksikan kejatuhan seorang demi seorang pemimpin yang bergelar diktator. Seorang individu yang pernah berdiri megah di paksi dunia, seorang yang mengawal wilayah pemerintahannya dengan kuasa dan pengaruh yang dikehendakinya. Hampir kebanyakan negara yang diperintah secara tirani kini bebas. Namun, di sebalik kebebasan mereka itu tersingkap sebuah permainan politik. Permainan yang sebenarnya telah diatur sejak sekian lama dalam objektif mereka mencapai sesuatu konsensus.

Era pasca perang dingin kini telah menunjukkan Amerika Syarikat sebagai kuasa yang banyak mencorak dunia mengikut cita rasa mereka. Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat sebagai sebuah negara kuasa dunia pertama yang berpopulasi hingga ke nilai juta dan ia mempunyai wilayah yang besar dan meliputi hampir sebahagian besar benua Amerika. Apa yang menjadi persoalan di sini ialah, bagaimana sebenarnya negara dunia pertama ini membangun dengan begitu pesat dan mampu menutup jumlah hutang yang besar di bank dunia? Mungkin ada di antara responden akan menjawab dengan mengatakan ia sedikit sebanyak berhubung kait dengan ekonomi Amerika Syarikat yang stabil dan mungkin juga kerana hampir kebanyakan syarikat korporat dunia berasal dari negara orientalis ini.

Hakikatnya, jumlah beban hutang yang ditanggung Amerika Syarikat terutamanya dalam peperangan kian bertambah saban hari, dan semestinya ia sesuatu yang mustahil untuk menutup atau mempertahankan negara ini daripada muflis. Dengan kajian yang teliti dilakukan terhadap ekonomi dan politik negara ini, kita akan tahu betapa negara ini sebenarnya sedang mengalami kejatuhan dan keadaannya boleh diibaratkan " seperti telur di hujung tanduk ". Jika ia masih tidak cukup untuk membuktikan bahawa negara ini sebenarnya sedang merudum jatuh kerana beban ekonominya, negara-negara gergasi lain boleh di ambil sebagai contoh yang baik untuk disamakan keadaannya dengan Amerika Syarikat.

INDIA - Merupakan salah satu negara terbesar dunia dan menduduki carta kedua berpenduduk padat dengan populasinya mencecah hingga ke 1.2 billion. Negara ini banyak melahirkan saintis terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan ia semestinya membantu dalam sektor pembangunan negara. Keunggulan India dapat dibuktikan dengan lahirnya tamadun awal manusia di sekitar Sungai Indus. Negara ini membangunkan teknologi biomas yang kini semakin berguna memandangkan sumber emas hitam semakin berkurangan. Negara yang kurang mendapat perhatian kuasa besar ini juga turut membangunkan teknologi nuklear bagi kegunaan rakyat dan juga tenteranya kerana keperluan mendesak ia untuk turut sama bersaing dengan negara-negara besar lain. Namun negara ini dihantui beban hutang yang melampau di bank dunia hingga paras kemiskinan rakyatnya serta taraf celik huruf semakin meningkat saban tahun. Pembangunan di negara ini tidak seimbang dan ia sedikit sebanyak mengganggu politik negara yang sememangnya tidak stabil. Demonstrasi dan juga keganasan seringkali berlaku di setiap ceruk negara ini walaupun hakikatnya tidak banyak berita mengenainya disebarkan. Beban hutang ini dihadapi oleh kerana ia berpenduduk ramai dan terlibat dalam peperangan mempertahankan Kashmir dari jatuh ke tangan Pakistan. Bayangkan, peperangan ini telah berlanjutan selama beberapa dekad dan ia menyebabkan ekonomi India merosot jatuh hingga mengalami beban hutang yang tinggi.

REPUBLIC OF INDONESIA - Negara terbesar di rantau Asia Tenggara dan merentasi benua Oceania dengan memiliki kesemua 33 wilayah dan berpenduduk sehingga hampir 240 juta ini menduduki tangga keempat negara berpenduduk padat yang mana ia telah mencapai kemerdekaan semasa era 40an. Merupakan negara di Asia Tenggara yang paling berpengaruh sewaktu era 50an dengan sokongan komunis Soviet Union ( Union Sosialist of Soviet Republics. USSR )di bawah pentadbiran Presiden pertamanya, Soekarno, Indonesia mengalami masalah inflasi dan beban hutang yang sangat tinggi kerana masalah dalam struktur pembangunan negaranya yang mana, negara ini tidak mendapat latihan dalam menjalani proses berkerajaan sendiri sewaktu dijajah oleh Pihak Belanda. Soekarno, menekankan sumber ekonomi negaranya untuk disalurkan ke dalam organisasi tentera, dan dana negara telah diperuntukkan bagi  memberi latihan ketenteraan kepada anggota Parti Komunis Indonesia yang diketuai oleh D.N Aidit. Penggulingan Presiden Soekarno kemudiannya sewaktu era 60an telah mengubah polisi Indonesia, yang mana ia pada asalnya pro-Marxist kepada pro-Barat semasa permulaan pemerintahan Presiden Soeharto. Masalah negara yang berpunca daripada pemerintahan Soekarno kemudiannya cuba dibetulkan oleh Soeharto melalui rakan sekutunya iaitu Amerika Syarikat, dan ia membibitkan permulaan Indonesia memiliki sejumlah hutang yang tinggi di bank dunia sehingga kini.

Kedua-dua negara ini memiliki wilayah dan jumlah penduduk yang ramai dan ia akhirnya menyebabkan beban kepada kerajaan sehingga menanggung hutang dan menyebabkan pembangunan negara terbantut. Persoalan ini boleh kita tujukan kepada Amerika Syarikat, sebuah negara yang besar, memiliki wilayah yang meliputi hampir keseluruhan bahagian utara benua Amerika. Bagaimana negara ini mampu menutup beban hutangnya, dan mempesarkan angkatan tenteranya saban tahun, di sebalik perlembagaan Demokrasi yang penuh dengan helah korupsi.

Negara kuasa besar ini menggelar dirinya sebagai " Polis Dunia " yang mana, di bawah nama ini AS menggerakkan bala tenteranya di bawah panji-panji PBB mahupun NATO kononnya membawa mesej dalam mengaman dan membersihkan dunia dari najis pengganas. Namun apa yang jelas, negara ini hanya menggerakkan bala tenteranya pada negara-negara Islam dan negara yang mempunyai kepentingan baginya. Berikut merupakan di antara perang yang di sertai oleh Amerika Syarikat ;

Perang Vietnam ( era 60an ) - Perang ini tercetus kerana keinginan Vietnam Utara yang berfahaman komunis dalam menyatukan wilayahnya. Ho Chi Minh menggerakkan tenteranya ke selatan dalam misi untuk menawan kota Saigon ( Ibu Negara Vietnam Selatan ketika itu ) dengan di bantu oleh pihak gerila VietChong. Saigon yang khuatir akan kemaraan tentera komunis Vietnam Utara kemudiannya meminta bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat. AS yang mahu meluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara, ( AS tidak boleh melaksanakan dasar jajahnya kerana Piagam Atlantik PBB 1945 ) dan bimbang dengan penularan pengaruh komunis yang kuat ( melalui Ho Chi Minh dan Soekarno ) membuat keputusan untuk melindungi Saigon daripada tentera komunis Vietnam Utara. Perang ini kemudiannya menjadi igauan ngeri AS dalam sejarah ketenteraannya kerana kekalahannya dan menyebabkan ia kerugian besar dengan kejatuhan Saigon. ( Korban nyawa, kehilangan peralatan perang kerana pengunduran, hutang pembinaan angkatan, pampasan perang ) Lebih malang, Vietnam yang mana pada asalnya sebuah negara yang lemah ketenteraannya menjadi kuasa ketiga terbesar pada era itu ( 70an ) setelah AS dan USSR.

Perang Teluk ( era 90an ) - Perang ini menyaksikan sekali lagi penyertaan AS dalam memerangi Iraq semasa kempen ketenteraannya di bawah pemerintahan diktator - Saddam Hussein. Konflik Perang Teluk ( WAR IN THE GULF ) ini tercetus kerana penawanan Iraq ke atas Kuwait. AS yang menanti-nanti peluangnya untuk turut serta telah di jemput oleh Arab Saudi kerana kekhuatiran golongan Dirajanya jika Iraq berjaya memeranginya. Dengan sekutunya seperti Britain, France, Arab Saudi, Russia, dll, mereka berkekuatan seramai 778 626 orang tentera, 2900 buah kereta kebal, 143 buah kapal perang, dan 2234 jet pejuang menentang Iraq seorang diri dengan kekuatan seramai 1 juta orang tentera, 5000 buah kereta kebal ( tinggalan Kesatuan Soviet ), 800 buah jet pejuang, dan hanya 15 buah kapal perang.  Perang ini menunjukkan betapa akhirnya kuasa-kuasa besar dunia ini tewas dengan kecekalan yang dimiliki oleh Tentera Iraq di bawah Saddam Hussein. Dengan bertambahnya satu lagi koleksi perang AS, hutang yang dialaminya semakin meningkat tinggi.

Perang Penawanan Iraq ( 2003 ) - AS yang telah lama menyimpan dendam terhadap Saddam Hussein kini merangka strategi dalam misinya menawan Iraq. Kali ini, AS memperbesarkan lagi angkatan tenteranya ( Pada waktu yang sama AS baru sahaja menceroboh Afghanistan dan sewaktu misi penawanan Iraq, AS masih lagi mengekalkan kedudukan tenteranya di sana atas alasan ingin membebaskan bumi Afghan dari cengkaman Taliban ) serta kelengkapan senjatanya hingga mencapai tahap di mana ia sesuatu yang sangat membebankan hingga menaikkan kemarahan rakyatnya. Setelah berjaya menduduki bumi Iraq, AS masih tidak mampu mengembalikan keamanan yang dijanjikannya, sebaliknya, keganasan semakin memuncak dan saban hari telegram akan dihantar ke AS menyatakan anggotanya yang terkorban dan kemusnahan yang dimilikinya.

Sekiranya kajian teliti di lakukan terhadap AS, adalah tidak logik negara ini mampu menanggung rakyatnya kerana beban hutang akibat peperangan yang sering disertainya, malah tentera seolah-olah menjadi satu pekerjaan wajib bagi mereka yang tinggal di sana. Peruntukan negara kebanyakannya disalurkan kepada tentera dan kepada negara yang ingin dikuasainya. Dari mana datangnya wang bagi menampung diri mereka? Di mana sumbernya?

Mengenai perihal Amerika Syarikat menyalurkan dana ketenteraannya kepada negara yang ingin di kuasainya, mungkin tidak ramai yang tahu, negara manakah yang menjadi sasarannya? Berikut merupakan di antara negara yang pernah menerima dana besar daripada AS ;

TIBET - " Operation St Circus " atau  lebih di kenali sebagai Perang Rahsia CIA. AS telah menghantar sejumlah dana dan melatih para pejuang Tibet dalam misi mereka menentang China bagi membebaskan negara mereka. AS membantu Tibet kerana negara itu mempunyai lokasi bagi mengawal pergerakan Komunis China, Nepal dan India sekitar 50an. Operation St Circus kemudiannya dibubarkan setelah AS tidak lagi mampu menanggung beban dan ia menyebabkan pejuang Tibet berasa kecewa hingga ada yang bertindak membunuh diri. Ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada Dalai Lama, pemimpin Tibet ketika itu. ( Perang Rahsia CIA ini dibongkarkan oleh veteran CIA yang kecewa dengan sikap AS dan ia diceritakan dalam pelbagai buku seperti diantara yang terbaru ; " The CIA's Secret War in Tibet karya Kenneth Conboy dan James Morrison )

PHILIPINES - Negara ini merupakan di antara negara di Asia Tenggara yang masih lagi diancam pemberontakan berikutan dasar peminggiran pentadbirannya terhadap Mindanao yang berpenduduk Islam. AS membina pangkalan tenteranya di negara ini dan meletakkan agen-agen perisikan mereka selain menyalurkan dana bagi memantapkan organisasi tentera Filipina. Negara ini menurut AS, berfungsi bagi mengawal tindakan ketenteraan Indonesia dan Malaysia di laut China Selatan terutamanya sekitar Selat Melaka yang menjadi laluan sibuk kapal-kapal dagang dan logistik.

 Dari sini kita sendiri boleh menilai bahawa AS sebenarnya menanggung beban yang tinggi sungguhpun ia merupakan kuasa besar yang memegang tampuk ekonomi dunia. Beban ini sebenarnya jika dikumpul dan dikaji, secara ilmiahnya, kita sendiri boleh menyimpulkan bahawa AS sudah tentu mempunyai rancangannya sendiri dalam merangka pengukuhan ekonomi negaranya. Tapi bagaimana?

Hampir kebanyakan negara-negara Arab mahupun Asia Tengah juga Afrika Utara sehingga kini mengamalkan sistem pemerintahan feudalisme yang bercorakkan kediktatoran. Baik buruk sistem yang diamalkan oleh negara-negara ini sebenarnya tidak patut dicampur urus oleh negara-negara lain terutamanya Barat. Kini, dunia membuktikan hampir kebanyakan negara Islam ini sememangnya "buta" dalam menilai sahabat. Ia dapat dilihat secara jelas sama ada melalui pemimpin, ataupun mungkin sekali rakyatnya. Mereka "bodoh" dalam menentukan kebenaran, mereka "lalai" dalam menentukan keadilan. Satu-persatu pemimpin Islam ini jatuh dari persada dunia. Namun apa kaitannya dengan topik yang diusulkan?

Jika ianya dikaji melalui perspektif sejarah, bangsa arab sememangnya dari dulu lagi tidak pernah bersatu dan seringkali bertelagah antara satu sama lain. Mereka bersifat kepuakan, dan hanya mementingkan kabilah masing-masing biarpun memeluk agama yang sama. Kesemua ini hanya berubah ketika kehadiran Rasullulah s.a.w dan sepanjang pemerintahan kekalifahan Rashidun. Kini, perkara yang sama berulang kembali menunjukkan betapa bodohnya sehingga akhirnya ekonomi mereka dimanipulasi oleh pihak luar.

Sekiranya umat Islam sedar, ekonomi dunia ini sebenarnya tidak dimiliki oleh Barat, terutamanya AS kerana hampir keseluruhan negara-negara Islam memegang sumber kekayaan semulajadi serta faktor semulajadi yang menjadi pemangkin kepada ekonomi dunia. Sumber emas hitam dunia dikuasai oleh negara-negara timur tengah yang sememangnya dimiliki oleh umat Islam sejak zaman lampau. Kedudukan serta laluan yang mempunyai faktor semulajadi yang strategik juga dimiliki oleh umat Islam seperti contohnya Terusan Suez (Mesir) , Teluk Aden (Somalia), Selat Melaka (Malaysia, Indonesia).

Apa yang terjadi hari ini ialah, kebanyakan sumber ini tidak lagi dikuasai oleh umat Islam walaupun ia sememangnya dimiliki oleh mereka. Bagaimana ia boleh terjadi?

Sunday, May 20, 2012

PENCORET ARANG


Blog. Sebuah medium. Sebuah perantara dunia media elektronik. Apa yang menjadi persoalan bagi isu kali ini, apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh penulis blog tersebut? Apa yang cuba diterangkan? Apa yang cuba disampaikan? Sesetengah daripadanya benar-benar berbakat dalam menulis, pelbagai nukilan dihasilkan bagi membuktikan mereka seorang penulis, penukil yang hebat. Ada juga yang menggunakan medium elektronik ini sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perniagaan yang sedang diceburi mereka. Namun kini, blog lebih digunakan ke arah yang salah, penulis radikal "berhaluan kiri" ini lebih gemar menggunakan akaun blog mereka ke arah yang malap, mungkin khusus dicipta bagi mengutuk seseorang individu, atau mungkin digunakan sebagai laman "pemuas nafsu".

Hebat. Si pencoret arang ini rata-ratanya mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan bahasa, mungkin ada yang mendapat gred tinggi, namun apa gunanya si pencoret arang ini menggunakan bakat mereka bagi sesuatu yang sia-sia? Sekadar menambah dosa? Mengutuk, seolah-olah mereka lebih bagus dari yang lain. Seolah-olah mereka seorang yang sempurna, namun mereka lupa. Lupa menutup kelemahan mereka yang nyata. Setiap bait, setiap patah perkataan, setiap satu ayat yang digunakan mencerminkan kebodohan, kecetekan mereka dalam bidang penulisan.

Terkenal? Itukah yang diharapkan? Malangnya, di sebalik kepopularitian yang mereka harapkan, apa yang berlaku adalah disebaliknya. Apa guna dikenali sebagai pencoret murahan? Malu bukan kepalang, maruah yang ada dipertaruhkan pada setiap satu bait yang dicoretkan. Mungkin mereka ini masih tidak sedar, masih merasa mereka ini "seorang bakat", apa guna bakat jika ini caranya? Sungguh hina...

Bagi melengkapkan isu ini seperti isu-isu sebelumnya, si penulis telah menemuramah beberapa individu bagi menyempurnakan tugasnya. Seperti biasa, penulis melakukan rondaan khasnya di Central Market, Kuala Lumpur ;

 JOHAN BIN KASSIM (JOHNNY@JOHN) , 27 (POLIS KHAS PUTRAJAYA)
Seperti kebiasaan, si penulis akan mengunjungi bazar kegemarannya yang terletak di ibu kota metropolitan Kuala Lumpur, tidak lain tidak bukan ialah Pasar Seni. Apa yang menariknya kali ini, si penulis terserempak kembali dengan rakan lamanya yang kini sudah menjadi polis khas di kota pentadbiran, Putrajaya.
"Assalamualaikum bro"
Penulis terkesima, terdiam, meletakkan cawan yang masih berisi suku nescafe di permukaan meja.
"JOHAN????"
"Ha! Akulah, lama tak dengar cerita?" responden memulakan bicara.
Penulis meneguk kembali nescafenya yang masih berbaki sebelum membalas perbualan.
"Hmm, macam ni jelah aku, kau dah habis belajar ke? Last aku jumpa dulu bukan main lagi sibuk nak berubah, nak belajar?" 
"Aku? Aku tak jadi sambunglah Danny, tak masuk kepalalah, time SPM panjat pokok kelapa, mana ada wawasan, sambung belajar apanya.." Penulis mengekek ketawa. Menggeleng kepala.
".. tapi aku masuk polis, polis khas jelah"
"Hah? Polis khas?" 
Responden ketawa seraya mengangguk. Seorang pelayan datang mendekati, meminta membuat pesanan.
"Kau buat apa je Danny? SPM tahun ni kan? Masih menulis bebas lagi ke?" Responden menyoal.
"Menulis? Masih lagi, tapi tak aktif dah, keluar dah dari pertubuhan menulis tu, tapi adalah sikit-sikit, ikut facebook, takpun aku masukkan sikit dalam blog, tu pun banyak delete dah"
"Laa yeke? Kali ni tulis pasal apa?"
"Penulis blog. Penulis yang suka mengutuk orang..."
"Cakap pasal penulis blog macam tu, memang banyak sekarang ni... naik meluat aku, entah bona tidak apo yang ditulis"
Penulis mula mengeluarkan penanya, membuka buku catatan hitamnya. Zip beg jenama Boo Yod Republic ditarik kembali.
"Apa pendapat kau Johan?" Penulis menyoal.
"Pendapat aku? Bagi aku membuang masa, daripada menulis benda bukan-bukan macam tu lebih baik buat benda yang berguna, banyak benda yang boleh disampaikan melalui blog, tapi yang ditulis, benda bukan-bukan jugak. Entahlah aku, tapi memang inilah hakikatnya, hobi kot. Tapi hobi apa macam ni... hobi memalukan diri"

APA PENDAPAT ANDA?

WAK SUPARMAN , (54) (Penjual keropok lekor tegar di lorong Central Market)
"Wak, keropok lekor 2 ringgit"
"Okay, eh? eh? kamu ni?" Wak Suparman mengerutkan dahinya.
"Danny, saya dulu selalu datang sini cari orang nak temubual buat journal, wak dah lupa?
"Ohya! Hampir wak lupa! Apa khabar nak? Sihat?" Wak Suparman mencapai bungkusan berisi sos kemudiannya.
"Baik wak, eh wak masih niaga kat CM ni ke? Majlis tak angkut lagi gerai wak ni? Kesian wak dulu, asyik kena angkut je naik lori" Penulis mencapai bungkusan sederhana besar berisi keropok lekor dari tangan Wak Suparman.
"Biasa semua tu, apa lagi yang kau mau tulis ni? Eh, duduklah, ada kerusi lebih belakang tu, kawan wak tadi duduk situ"
Penulis melabuhkan punggungnya pada kerusi plastik yang dinyatakan Wak Suparman.
"Pasal penulis blog wak, alah, laman-laman menulis dalam internet tu"
"Blog? Oh, yang selalu orang guna untuk buat laman lucah tu?" Wak Suparman meminta kepastian.
"Ha, lebih kuranglah tu. Jadi apa pendapat wak?"
Belum sempat penulis menyudahkan sesi soal jawabnya beberapa pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur datang menyerbu gerai Wak Suparman.
"Eh? Eh? Apa ni???"
Rupa-rupanya Wak Suparman masih belum membayar lesen penjajanya.....

PENULIS-SEPANG PERDANA 10.20 pm (9/8/11)
Perlu diakui tidak semua penulis blog menggunakan blog mereka untuk tujuan yang tidak bermoral, namun hakikatnya majoriti daripada mereka menggunakan medium ini bagi tujuan yang salah. Kepada penulis blog yang TIDAK BERMORAL, hentikanlah perbuatan sia-sia anda. 
p.s / Saya kembali menulis tetapi setiap isu kali ini tidak lagi dipaparkan melalui www.thenegcommunity.webs.com / Sebarang cadangan boleh disertakan melalui rovekick@yahoo.com ataupun melalui link blog yang disediakan.