Sunday, October 10, 2010

SAHABAT

Persahabatan. Perkataan yang merangkumi pelbagai konteks yang meluas. Majoriti manusia di muka bumi ini akan bersahabat. Mereka akan berkenalan, beramah mesra, dan mulalah terbitnya perasaan percaya, selesa, dan dari situ bermulanya persahabatan. Namun, tidak kita ketahui apa maksud persahabatan yang sebenarnya. Sahabat yang sejati akan bersama dalam mengharungi susah dan senang. Sahabat yang sejati akan sentiasa bersama menemani dalam berkongsi suka dan duka.

Kini, persahabatan hanya ada pada nama. Ramai individu yang tidak menghargainya. Dan bagi mereka yang tidak mendalami maksud persahabatan itu, ia hanya ada pada nama. Ia hanyalah persahabatan palsu yang mana berdasarkan sesuatu. Harta? Duit? Nama? Kepopularitian? Ya, itulah persahabatan di era pascamerdeka kini. Kenapa tidak kita bersama memahami apa sebenarnya persahabatan itu? Kenapa ramai dari kita yang tidak menghargainya? Pada mulanya bersahabat, namun kemudiannya ia bertukar menjadi racun kononnya. Pihak ini menyalahkan pihak yang sana, dan begitu juga sebaliknya. Itu bukan ikatan persahabatan.

Renung dalam. Fikirkan semula apa yang telah dinyatakan. Selama ini persahabatan yang anda jalinkan berdasarkan apa? Adakah anda seorang sahabat yang setia?

Anda bercinta. Anda sentiasa bersama pasangan anda. Ya, sememangnya pasangan bercinta itu tempat bagi mencurah segala duka dan suka tetapi, bila ia diimbas kembali, setiakah pasangan anda itu berbanding sahabat? Hampir kebanyakan individu akan memilih sahabat pabila kekasih hatinya pergi. Itu bermakna sahabat bagi anda hanyalah tempat sementara. Kenapa tidak anda bersamanya dalam berkongsi masa kehidupan?

Bagi isu ini, saya telah mewawancara beberapa individu bagi mendapatkan komen mereka tentang persahabatan. Mari kita kongsi bersama..



PUAN SRI NARIMAH NORDIN (48 - ISTERI TAN SRI KHALID ABRAHAM)

"Assalamualaikum Puan Sri" penulis memulakan perbualan.
"Waalaikumsalam, eh.. eh.. tanggalkan kasut you tu, kotor nanti rumah I"
Penulis menghentikan langkahnya. Kasut jenama ALIFE ditanggalkan.
'Banyak betul songeh orang tua ni, kat laman luar pun nak tanggalkan kasut ke? huh.. bongkak betul,'penulis berbisik dalam.
"Puan.. saya"
"Puan Sri, jangan lupa perkataan "Sri" tu, susah tau suami I nak dapatkan title tu untuk I, muahahahaha (gelak cara iblis)"
"Err.. okay, Puan Sri, saya penulis bebas dari Suku Kata Terakhir™ GROUP, kalau boleh saya nak ambil masa Puan Sri sikit, nak temubual pasal isu terbaru saya, persahabatan"
Responden tersebut menyilangkan kakinya dan bersandar bongkak dikerusinya.
"Hmm.. okay, apa yang awak nak tanya saya?"
"Begini Puan Sri, apa pendapat Puan Sri tentang konsep persahabatan?" penulis menempatkan mata penanya di permukaan buku catatannya.
"Persahabatan? Haha, bagi I persahabatan tu takda maknanya. Lagipun I cuma berkawan dengan orang-orang yang ada standard je. Contohnya, Datin Norsiah, Datin Jay. Muahaha(gelak cara iblis). We allclubbing and sometimes kitorang hang dengan jantan-jantan kacak yang ada kat ' key el' ' tu. Husband we all tak tau, yela, we all kan cantik, berduit, kenalah dengan dorang yang handsome-handsome kan. Muahahaha(gelak cara iblis)" suka rebonding rambut,
"Puan Sri tak takut mati ke?"
"WHAT??!!"

WAK SUPARMAN (53 - PENJUAL KEROPOK LEKOR TEGAR DI CENTRAL MARKET)

"Pak cik, keropok lekor singgit, keropok nipis singgit, campur gaul sos ye" penulis meraba-raba dalam beg sandang Boo Yod Republicnya, mencari dompet.
"Ya nak.." Wak Suparman tersentak. Dia melihat wajah penulis secara dekat. Mengamati wajah dihadapannya.
"Eh... kamu ni budak penulis bebas tu kan? Yang pernah temubual pak cik dulu kan?"
Dahi penulis berkerut. Cuba untuk mengimbas kembali pertemuannya, mengingati kembali insan yang berdiri dihadapannya.
"Laa... Wak Suparman... Wak masih niaga kat sini lagi ke? Bukan hari tu Wak punya gerai dah kena angkut ke dengan DBKL?"
"Loh.. udah Wak bilang, Wak kan penjual tegar, rintangan kecil je tu" Wak Suparman tersenyum kecil.
"HAHA... alang-alang saya temubual Wak ajelah, kan?"
"Temubual apa lagi?" Wak Suparman menyoal.
"Pasal konsep persahabatan. Apa komen wak?" Penulis mengunyah perlahan keropok lekornya.
"Bagi Wak lah.. persahabatan ni lebih dalam segala hal, sahabat bersama dalam susah senang. Saling ada bila kita memerlukan.. tapi entahlah... zaman sekarang tak macam tu lagi. Sahabat hanya tempat untuk melepak, berkongsi rokok, dadah... haii... apa nak jadi..."
Penulis sedikit terasa. Kotak rokok yang ada dalam poket di sembunyikan bawah beg.
"Er..wak ada pengalaman best ke?"

"Ada.. mestilah ada... Dulu masa arwah isteri wak mengandungkan anak sulung wak, wak tak tau macam mana nak hantar isteri wak ke hospital,dah lah tengah hujan, nasib baik lah kawan wak ada, dia bawak lori ayam dia angkut isteri pak cik bawak ke hospital, malang tayar pancit tepi jalan. Tuah waktu tu, ada tayar spare, dah macam bini dia pulak yang nak beranak, tengah-tengah hujan tu dia redah nak pasang tayar. Alhamdulilah, semuanya okay."
Penulis tersenyum panjang.
 Penulis-SEPANG 10.36 pm

"Sahabat sentiasa bersama kita. Susah dan senang. Hargai mereka. Harta boleh dicari, cinta boleh dicari, tetapi tidak sahabat. Mereka sukar untuk diganti. Merekalah yang pertama akan menolong kita ketika berada dalam keadaan sukar, genting. Isu ini paling sukar untuk saya, sebenarnya saya tidak punya idea untuk menulis isu ini. Namun saya tetap terbitkannya kerana ia khas untuk seseorang. Masih lagi saya ingat, satu ketika dulu sewaktu keluarga saya benar-benar susah, saya tinggal di satu kawasan setinggan berdekatan ibu kota. Adakala untuk makan pun susah, namun kehadiran sahabat saya benar-benar mengharukan. Dia sanggup berkongsi bersama saya. Dan pada satu ketika, kami pernah berkongsi duit dua puluh sen seorang hanya untuk mendapatkan nasi kosong"

ABDUL RAZAK BIN OSMAN
23-11-1994 - 4-10-2008



DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH

Idea asal : Danny Alamsyah Adriansyah
Izin terbit isu : Suku Kata Terakhir™ GROUP
link to : NEW EXPERIENCE GENERATION™/ KLINIKIT ART 2010

Saturday, October 9, 2010

PECINTA SEMENTARA

Kecewa. Sedih. Hanya itu yang dapat digambarkan oleh ekspressi wajah ketika kecundang dalam percintaan. Segalanya manis ketika masih bercinta. Segala apa yang tercipta semuanya indah belaka. Apa yang ingin disampaikan kali ini bukanlah kerana tewasnya dalam percintaan akibat perselisihan faham, pertengkaran mahupun curang. Tetapi apa yang dipersoalkan di sini ialah ketika anda berperanan sebagai "pecinta sementara" ketika bersama pasangan anda dalam mencipta hubungan.

"Pecinta sementara". Mungkin ramai yang akan keliru pabila mendengar dua perkataan ini. Apa maknanya yang sebenar? Apa mesej yang cuba disampaikan dalam perkataan ini? Dan mungkin juga apa peranan mereka yang diklasifikasikan sebagai "pecinta sementara" ?

Ketika anda sedang menghayati isu ini, bayangkan diri anda sendiri sedang menikmati betapa indahnya pesona dalam percintaan. Letakkan diri anda sebagai watak yang sedang bahagia dalam percintaan. Namun, pada hakikatnya pasangan anda sedang dikongsi bersama orang lain. Sedang dimiliki oleh orang lain pada masa yang sama. Ya, andalah "pecinta sementara" .

Anda berperanan sebagai orang ketiga. Anda hanyalah cinta yang datang sementara dalam hidupnya. Anda bukanlah kekasihnya yang sejati. Anda bukanlah cinta yang dianggapnya suci dan hebat di mata, tetapi anda hanyalah kekasih gelapnya. Jadi di sini, apakah cinta anda itu sesuatu yang benar?

Anda kenal benar tentang dirinya. Anda tahu akan rentak dan percaturan hidupnya. Anda terpikat dengan kemanisannya, gelak tawanya, senyumnya. Anda teringin sekali menyelam jauh ke dasar hatinya. Memilikinya adalah sesuatu yang anda impikan biarpun ia sekadar mimpi di siang hari kerana pada masa yang sama anda tahu si dia sudahpun berpunya. Cinta hadir tanpa dirancang. Cinta datang tanpa dipelawa. Anda bersama dengannya, anda mengucapkan cinta padanya saban malam, anda bersamanya hampir setiap detik. Semuanya diterima sekalipun perit.

Soal diri anda sendiri. Jauh ke dalam lubuk hati. Sanggupkah anda melihat si dia jatuh ke dalam pelukan kekasih hati? Mampukah anda bertahan hampir setiap waktu jika si dia merindukan kekasih hati? Mengagungkannya lebih dari segalanya? Tegarkah anda dalam percintaan ini walau pada akhirnya si dia tetap memilih kekasih hati? Bayangkan si dia bergalak ketawa, bermanja malah berkasihan bersama kekasih hatinya sedangkan anda bersendiri merinduinya. Menantinya dengan penuh rasa cinta, menunggunya dengan penuh kasih, bersabar menanti si dia menemani, mengisi hati anda sedangkan hakikatnya tiada sebarang ucapan daripada dia walaupun sekadar "selamat malam sayang" Dan ia bertambah pedih apabila anda cuba untuk menghubunginya. Anda mengharapkan rindu anda dibalas namun marah yang diterima. Alasan yang diberi, anda tidak dibenarkan mengganggu masanya. Bayangkan betapa hancurnya hati anda, betapa remuknya hati anda. Sakit, pedih, perit, deritanya bukan kepalang...

Anda telahpun terjerat dalam percintaan terlarang ini. Ya, memang sukar untuk anda berpatah balik, sukar untuk anda pulang kepada keadaan asal. Lupakan semuanya biarpun terpaksa. Relakan hati sekalipun tersiksa. Biarkan pengorbanan anda untuknya. Janganlah anda terus-terusan menjadi pelakon dalam sketsa percintaan ini yang mana akhirnya bertemankan air mata. Anda mampu mangharunginya. Semuanya kerana selama ini anda hanya mencintai bayang-bayang, sedarlah bahawa selama ini cinta anda dipandang sepi. Sedarlah bahawa di pengakhiran anda akan tewas jua. Jangan banggakan lagi cinta yang telah mati untuk anda. Dendam dan sakit hati hanya topik biasa. Penerimaan yang membezakan anda. Sama ada positif atau negatif. Ia merupakan senario biasa di alami oleh semua inan yang kecundang dalam bercinta. 

Bebaskan diri anda daripada belenggu cinta yang tidak berkesudahan ini kerana cinta akan hadir pada bila-bila waktu dan masa yang menentukannya. Lepaskan dia, sekalipun anda amat mencintainya. Kembalilah pada rutin normal dan jalani kehidupan seperti biasa. Banyakkan ibadah jika anda masih belum tenang dengannya. Maafkanlah dia. Biarpun anda tersiksa melihat si dia bahagia bersama kekasih hati kerana anda hanyalah "pecinta sementara"

PENULIS-SEPANG (1 OKTOBER 2010) 10.13 p.m
"Pada awalnya saya langsung tidak terfikir untuk menulis isu ini biarpun pada hakikatnya ia berkaitan dengan sejarah hidup saya. Namun ia berubah apabila saya menerima email daripada pembaca lama yang menceritakan tentang kisahnya seperti yang telah diketengahkan dalam isu ini. Ia benar-benar mengejutkan saya. Bagi saya, jika telah terikat dengan peranan "pecinta sementara" ada baiknya kita menyayangi dalam diam daripada berterus-terang"

DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH
Idea asal : Nisa Anissa Rahman
Olahan oleh : Danny Alamsyah  -    rovekick@yahoo.com
Izin isu oleh : Suku Kata Terakhir™ GROUP/ link to New Experience Generation™/ Klinikita Design™ 2010
(Sebarang cadangan boleh dinyatakan melalui www.thenegcommunity.webs.com)

TERAPUNG TERBANG DI AWANGAN

Segalanya berubah. Dunia yang kosong terisi dengan kehadiran sesuatu yang bernama cinta. Sesiapa sahaja yang memiliki cinta akan terasa dirinya begitu bertuah, begitu bahagia, seolah-olah segalanya sudahpun mutlak kepunyaannya. Cinta. Satu perkataan. Satu sebutan. Namun ia tidak seringkas yang disangka, tidak semudah yang dijangka. Kompleks. Itu sahaja yang boleh digambarkan pabila kita memilikinya. Adakalanya cinta menjadi peneman suka, penghibur tatkala berduka. Cinta adakalanya menjadi penawar kepada segala kesakitan juga derita, hinggalah satu saat ia bertukar menjadi racun yang membawa bahana.

Seringkali cinta dikaitkan dengan kehidupan manusia. Sesuatu yang menjadi persoalan di sini, di mana letaknya harga sebuah cinta kini? Jika kita mempunyai pasangan cinta, soal hati, tanya diri, di mana kita letakkan ia? Renung jauh ke dalam hati. Cinta. Adakah pada nafsu semata atau hati? Cinta merangkumi pelbagai aspek. Namun cinta di dunia memerlukan tiga jenis rangka utama. Setia. Jujur, dan yang terakhir percaya.

Setia. Satu perkara yang senang untuk difahami. Ia merupakan tiang utama kepada satu-satu hubungan. Melalui setia, kita dapat mengenal jelas jauh ke dalam hati pasangan kita. Melalui setia, segala rintangan dapat di atasi. Dan melalui ia, kita kenal apa itu erti cinta. Kita boleh sayangkan sesiapa sahaja. Kita boleh kasihkan sesiapa sahaja. Namun tidak cinta kerana cinta hak milik mutlak kepada satu. Dan ia kekal hingga ke penghujung hayat kita. Cinta yang setia di bawa hingga ke liang lahad.

Jujur. Cinta perlukan kejujuran. Imbas kembali ketika anda sedang atau ketika pernah bercinta. Adakah anda benar-benar jujur pada pasangan anda? Atau anda hanya sekadar berkongsi suka dan duka? Anda menentang? Adakah kerana alasan pasangan anda tidak mendengar keluhan hati anda? Percaya atau tidak, jika anda jujur dalam setiap perkara ketika anda bercinta, pasangan anda akan melakukan perkara yang sama. Lelaki dan wanita mempunyai pemikiran yang berbeza. Jika anda seorang lelaki, ceritakan segalanya tentang diri anda, walaupun anda dikatakan bodoh oleh pasangan anda sendiri. Jangan merasa kecewa kerana wanita sentiasa mempunyai pandangan yang jauh dalam setiap perkara. Dan adakalanya mereka mungkin tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda cuba sampaikan. Cuba sampaikan mesej dalam setiap perkara yang anda ceritakan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan di hati pasangan anda kerana selaku lelaki anda bertindak sebagai pemimpin. Jika anda seorang wanita, cuba fahami segala yang cuba atau telah disampaikan pada anda. Jika ia menyakitkan hati anda, marah bukan jawapannya. Di sini, hati dan nafsu memainkan peranan. Buang ego anda. Hakikatnya hati lelaki lebih kompleks daripada wanita. Lebih rumit dan amat susah untuk difahami. Andalah yang mengisi hati mereka. Anda bertindak sebagai pendengar, penasihat, dan juga penghibur.

Percaya. Percaya merupakan aspek yang terpenting. Percaya pada pasangan anda. Inilah yang akan membantu anda dalam setiap perkara. Pasangan anda akan berasa selesa ketika bersama anda. Mereka tidak akan merungut. Sentiasa punya keyakinan yang tinggi pada pasangan anda. Perasaan sayang, kasih akan terbit dengan sendirinya melalui cara ini. Jangan merosakkan kepercayaan yang telah diberi. Wanita selalunya akan membiarkan lelaki menanti. Kaum ini penuh dengan helah hakikatnya. Namun helah yang mereka gunakan sebenarnya untuk menguji pasangan mereka. Dalam aspek ini, lelaki memainkan peranan yang sangat penting kerana lelaki selalunya tidak percayakan pasangan mereka. Yakin. Sayangi mereka merupakan satu cara bagi pihak wanita itu untuk membalas perkara yang sama dalam setiap perkara yang anda lakukan.

Dalam konteks Islam, cinta merupakan sesuatu yang suci. Ia lahir melalui hati. Dan ia tidak akan pernah terbit melalui nafsu. Lelaki merupakan pelindung. Wanita pula melengkapkan segalanya. Dua kaum ini saling memerlukan. Anda fikirkan sendiri kembali, soalan yang sama, di mana anda letakkan harga cinta anda? Jika anda seorang lelaki, kenapa anda merosakkan cinta anda dan tegar dalam menukarkan ia menjadi nafsu? Jika anda seorang perempuan, kenapa anda tergamak dalam melukai hati seorang lelaki? Lelaki sanggup melakukan apa sahaja jika dia benar-benar menyayangi seorang wanita itu. Dan tidakkah anda tahu, kelemahan paling besar seorang lelaki itu wanita?

(SEPANG-PENULIS)
"Saya sendiri pernah merasai semua itu biarpun hanya untuk sekali. Saya pernah kenal apa itu cinta. Walaupun mungkin bukan secara mendalam, namun saya tahu akan kemanisannya, tahu akan kepahitannya. Secara jujur, pabila cinta menguasai diri saya, saya tidak kenal apa itu putus asa, saya sentiasa tabah dalam melakukan segala hal kerana saya tahu hasilnya berbaloi. Saya gagal dalam percintaan yang pertama itu, namun saya letakkannya di hati, saya lepaskannya. Dan saya benarkan segala luka itu berlalu pergi, saya biarkan kasih yang masih tertinggal itu berbekas dalam hati. Saya biarkan rindu itu mengharmonikan diri saya. Satu sebabnya, untuk pertama kali, saya merasai sesuatu yang benar-benar lahir dari hati, bukan dari nafsu. Satu perkara yang perlu untuk difahami, kadangkala cinta bukan ditakdirkan untuk dimiliki. Biarkan jika bekas pasangan kita tidak memahaminya. Cukup sekadar kita yang mengerti. Adakalanya kita perlu berkorban, biarpun pada akhirnya kita yang terseksa. Biarkan ia pergi, mencari cinta yang baru. Kita sendiri akan merasai kebahagiannya pabila senyuman terukir di bibirnya."

Isu ini diterbitkan khas pada mereka yang sedang atau pernah bercinta. Fahamilah ia secara mendalam. Cinta bukan perkara yang boleh dibuat mainan. Ia sesuatu yang suci. Jangan tukarkan ia menjadi sesuatu yang boleh dibisik iblis. Cinta yang ikhlas akan diredhai Tuhan. Dan akan berakhir dengan perkahwinan.

"Lelaki itu prosa alam, perempuan pula sajaknya,
    Cinta itu lagu, dan perkahwinan itu orkestranya"

  DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH/ STEREO MELANKOLIS
Idea asal oleh Danny Alamsyah Adriansyah - SUKU KATA TERAKHIR GROUP™
izin terbit oleh New Experience Generation™/ Klinikita Design™ 2010
Sebarang cadangan/ maklum balas digalakkan melalui www.thenegcommunity.webs.com

SERIGALA - Si Pemotong Jalan

Kelompok Korporat. Dua perkataan yang tidak kompleks, dan tidak mempunyai konteks yang mendalam dan menyeluruh. Sekali disebut dua perkataan ini, masing-masing akan membayangkan segolongan manusia yang berpakaian segak, kemas, rapi dan sudah tentu berharta serta seorang yang berkeperibadian bijak dan licik dalam segala hal. Namun, persoalan yang timbul di sini, yang menjadi tanda tanya di benak fikiran kita, di mana letaknya kelicikan mereka? Di mana mereka menggunakan kebijaksanaan mereka? Adakah mereka menggunakan kedua-dua anugerah Tuhan itu kearah yang benar? Ke jalan yang sahih? atau mungkin sebaliknya.

Sebelum zaman pascamerdeka yang sedang kita jalani waktu ini, semasa negara kita masih lagi menjalani situasi feudal di setiap pelusuk, golongan ini memanipulasi, memonopoli hampir setiap perkara, menguasai hampir setiap benda. Mereka mewujudkan sistem "yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin" Di mana letaknya hati perut mereka? adakah di lutut? limpa? atau mungkin bulu ketiak? Hina bukan jika dikelaskan hingga begitu sekali? Mereka dihormati, jika mereka berjalan di hadapan, hampir semua yang berda di sisi mereka tunduk. Mereka mempermainkan harga manusia, mewujudkan kasta, mencipta jurang, dan sekaligus meminggirkan mereka yang miskin, seolah terlalu rendah martabatnya? Binatangkah mereka? Apa guna akal yang diberikan? Mereka menggunakannya untuk kepentingan sendiri. Ya, itulah hakikatnya.

Kini, keadaan yang sama berulang, sama ada dalam bentuk material atau tidak, golongan binatang yang bertopengkan iblis ini masih wujud, cuma cara mereka berbeza. Contoh paling dekat yang boleh kita lihat dengan nyata ialah politik, Jangan salah sangka, mungkin sesetengah dari anda yang membaca isu ini akan berfikir, menentang, kenapa harus kelompok korporat ini dikaitkan dengan politik? Hakikatnya, kerajaan bergantung kepada mereka, dalam setiap hal sebenarnya, dan untuk itu mereka akan mengambil kesempatan dengan meletakkan syarat tertentu yang akhirnya akan menyusahkan individu, atau kumpulan tertentu. Ia jelas dapat dikesan dengan kehancuran politik negara kita yang semakin hari semakin nyata, kononnya segala hal dapat ditangani? PENIPU ! Rasuah merupakan bukti yang paling nyata. Kononnya, kemiskinan dapat dibasmi, mana? Perlukah mereka yang miskin dan dianggap hina itu dimasukkan ke rancangan bersamamu dahulu baru mereka akan dibantu oleh kerajaan? Adun? Badan-badan NGO?

Dalam konteks Islam langsung tiada perbezaan atau taraf, tetapi lihatlah apa yang berlaku kini. Sebuah negara Islam! Ke mana contohnya kerajaan-kerajaan agung Islam Turki Uthmaniyah? Khulafa Ar-Rasyidin? Mari kita lihat pandangan sesetengah orang yang telah diwawancara bagi mengetengahkan isu ini.

Tan Sri Khalid Abraham, 56, (C.E.O)
"Apa pendapat encik tentang golongan korporat yang kini semakin mengancam kedudukan mereka yang berada dalam kelompok bawahan?"
Penulis mula menempatkan penanya di permukaan buku nota kecil bagi mencatat apa yang telah dikatakan. Dia memberi sepenuh perhatian.
"Semuanya sampah... diorang tu menyusahkan I, tak habis-habis datang mintak derma, naik fed up I. Bagi I, kucing kurap tu semua cuma mainan, kita guna diorang untuk kepentingan kita! muahahahaha (gelak cara iblis)"
Penulis menggeleng kepala. 'Dah tua... tinggal nak tempah batu nisan masih lagi macam tu..' bisik penulis perlahan.
"Ha? Apa? Apa you cakap?" Responden tersebut berang.
"You ulang balik apa you cakap!! You ingat I tak dengar??!"
"Eh... mana... mana ada apa-apa... Tan Sri.. Eh.. janganlah??!!" Pandangan penulis hitam. Tiada lagi material yang dilihat di hadapannya.

Untuk makluman anda penulis telah ditumbuk oleh binatang terbabit hingga beliau pengsan untuk beberapa ketika. Lihatlah betapa jahilnya mereka..

Tuan Ishak Abdul Ribut,48 (Pengarah Badan bukan Kerajaan)
"Boleh saya ambil masa tuan sikit?" soal penulis bagi memulakan perbualan.
"Cepat sikit ya, sebab lepas ni I ada sidang akhbar, I tak da banyak masa untuk benda-benda remah ni.."
"Hmm, takpe, saya cuba jimatkan masa tuan, apa pendapat tuan tentang golongan korporat yang kini semakin mengancam kedudukan mereka yang berada dalam kelompok bawahan?" Penulis memulakan soalan. Seraya itu dia meneguk air mineral yang tersedia untuknya.
"I takda komen.. bye..." serentak itu, responden tersebut terus beredar keluar dari pejabatnya tanpa menoleh sedikitpun kearah penulis.
"Tuan.. tuan!!??"

Wak Suparman,53 (Penjual keropok lekor tegar di Central Market)
"Pak cik, keropok lekor singgit gaul sos terus ye.."
"Iya nak..." Keropok lekor yang diletak dalam bekas kecil di gerai berjalan buruknya mula di ambil. Pandangannya terhenti kemudiannya. Tajam ke arah beg yang disandang penulis"
"Belajar ke? Besar beg sandang tu" Wak suparman menyoal. Keropok lekor bertukar tangan.
"Eh... taklah pak cik, saya ni penulis bebas. Dalam beg ni banyak buku catatan saya dengan jurnal-jurnal yang saya baca" 
"yeke.. bagus muda-muda dah macam ni. Sekarang kurang sangat penulis bebas macam kamu ni. Kamu tulis pasal apa?" Wak suparman menyoal lagi.
"Urm.. saya tulis pasal golongan korporat. Sekarang ni pak cik, golongan ni dah kuasai hampir kesemuanya. Boleh rosak negara kalau terus camtu"
Wak Suparman mengalihkan kedudukannya. Mengambil tempat. Nafas yang dalam di tarik.
"Benar kata kamu tu.. Diorang tu dah jauh tersesat dari jalan asal. Sepatutnya kita sebagai manusia saling membantu. Bukan saling menguasai, sekarang bukan lagi zaman jahiliyah, setiap orang saling memerlukan. Tak kira sama ada yang miskin atau kaya.. semua sama, takda beza, dan kalau dalam Islam kan dah tercatat bahwa tiada taraf dalam kehidupan manusia."
Penulis tersenyum lebar. Mereka yang berpangkat ditemu duga, namun akhirnya dijawab lengkap oleh seorang peniaga keropok lekor biarpun ringkas. 
"Terima kasih pak cik. Terima kasih banyak-banyak." Wak Suparman mengangguk seraya menghadiahkan satu senyuman yang cukup manis untuknya.
"HOIII!!!" satu suara nyaring kedengaran.
Wak Suparman menggelabah. 
"Eh.. pak cik.. kenapa ni?"
"HOII!! Niaga takda lesen!!"


(SEPANG-PENULIS)
Jelas bukan keangkuhan kelompok korporat ini? Ya, merekalah "serigala si pemotong jalan" yang dimaksudkan. Bangga dengan pangkat korporat. Sepatutnya mereka di gelar keparat, bukan korporat. Susah untuk kita lihat kini, kelompok sebegini yang benar-benar ikhlas ketika membantu. Bukan dengan membantu kerana mahu meraih simpati dari masyarakat sekeliling... tetapi kerana mahukan keredhaan Tuhan.



STEREO MELANKOLIS/DANNY ALAMSYAH
Suku Kata Terakhir Group™/ link to The NEG Community™/Klinikita Design™ 2010
idea asal olah DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH - izin isu 22 September 2010 oleh The NEG Community™
(Sebarang maklum balas bagi forum boleh dinyatakan dalam www.thenegcommunity.webs.com)

REPLIKA

Seringkali kita dengar pelbagai jenis jenama, pelbagai jenis label, pelbagai jenis barangan sama ada dalam bentuk realistik ataupun media. Dan saban hari juga kita dengar tentang ia diciplak, direplikakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Malah, ia turut menyakitkan hati pabila si penciplak mendakwa hasil yang mereka cipta itu asli, dan lebih bagus berbanding yang asal. Penat lelah, peluh bertitik, otak diperah untuk mencipta sesuatu yang kreatif, kritis dimata seseorang individu mahupun berkelompok, namun pabila ia direplikakan oleh pihak yang lahabau ini, apa perasaan mereka?

Ketika ini, di Malaysia, industri seni semakin maju dengan pelbagai jenis barangan yang dicipta, pelbagai jenis reka bentuk yang dihasilkan. Kelahiran ini dapat dilihat seiring dengan pelbagai jenis medium oleh kebanyakan anak muda yang kian giat bersaing bagi memajukan pertubuhan/perniagaan masing-masing. Dan hampir kesemuanya dapat dilihat dengan terhasilnya barangan kraf tangan seperti baju, seluar, beg dan tidak terkecuali penghasilan serta kenaikan industri musik serta penciptaan grafik diserata pelusuk Malaysia. Kehadiran penciplak yang tidak pernah diundang ini menyebabkan tersekatnya perkembangan industri tersebut lalu menyebabkan kualiti barangan asal yang dihasilkan terus merosot dalam sekelip mata. 

Bayangkan jika ia terjadi kepada anda sendiri?
Apakah perasaan anda?
Marah? Kecewa? 

Golongan lahabau ini boleh diklasifikasikan seperti berikut :-
1. Bangang - Mereka layak mendapat gelaran tersebut kerana sesungguhnya mereka tidak berusaha untuk menghasilkan label mereka sendiri sebaliknya mengambil jalan mudah untuk mereplikakan hasil orang lain. Mereka tidak berfikiran kritis dan kreatif. Dan seeloknya mereka tidak dicipta oleh Tuhan sebagai seorang manusia. Alangkah indahnya jika mereka dicipta sebagai seekor monyet? Bagus bukan?

2. Sial - Mereka yang tergolong sebagai penciplak ini sepatutnya ditakdirkan untuk memiliki anugerah sial. Kenapa? Mengapa? kerana dengan adanya mereka yang sial ini, industri yang sedia ada tersekat laluan perjalanannya. Dan yang lebih menyedihkan, ramai terpedaya dengan barangan mereka yang lagsung tidak setanding kualitinya. Bukankah elok jika mereka mengambil jalan alternatif dengan menyertai label yang sedia ada daripada merosakkannya? Bangsat bukan?

3. Jahanam - Mereka ini sepatutnya dicampak terus kedalam neraka jahanam dan mati rentung dibakar didalamnya. Kenapa? Timbulkah persoalaan "kenapa" di benak fikiran anda? Slow betul.. Kencing laju fikir slow. Mereka ini menyekat rezeki penghasil asal yang ada dengan membuat tiruan dan mengaut keuntungan daripadanya. Bukankah bagus jika mereka turut bersaing dengan pencipta yang ada? Bukankah ia jalan yang sah? Kenapa harus mereka mengambil jalan yang buruk seperti itu?

Sekarang mari kita kita bersama-sama baca apa komen yang tercatat hasil respon dari beberapa manusia yang dilihat ada di sekitar di Malaysia.

MUTHUSAMY KARUPPIAH, 28 (SELANGOR)
"Apa pendapat Encik Muthu tentang  kegiatan barangan tiruan yang dihasilkan pencipta masa kini?" Penulis menyoal responden sambil menyedut fresh orange yang tersedia dihadapannya.
Encik Muthu senyap. Tiada sepatah kata pun yang dikeluarkan.
"Encik Muthu.." Penulis ingin bertanya sekali lagi. 
"ya.. ya.. apa dia tadi macha?" 
"Apa pendapat Encik Muthu tentang  kegiatan barangan tiruan yang dihasilkan pencipta masa kini?" Penulis mengulang soalan yang sama. Dahi penulis berkerut. 'Sekali aku tumbuk dia ni kang.. sebijik macam cakap dengan batu,' Hati kecil penulis berbisik dalam.
"tada apala macha.. itu worang dia punya suka la macha.. tapaya sibuk itu worang punya kirja.." 
Penulis menyinga.
"takpelah Encik Muthu. Terima kasih banyak-banyak" Penulis terus beredar keluar dari Restoran Mamak Selera tanpa menoleh ke belakang lagi.

THOMAS CHOW KEAN KEAT, 25, (IPOH)
"Boleh saya panggil Encik Thomas je?" Penulis memulakan bicara setelah salam perkenalan diberikan.
Responden berbangsa cina itu membetulkan kedudukannya di atas pelantar buruk yang terletak disebelah bengkel kepunyaannya.
"Sini punya olang manyak panggil wa Taiko Tom, tapi lu olang luar, boleh panggil wa apa lu mau" 
Penulis tersenyum kecil. Mungkin kali ini dia akan mendapat jawapan yang diinginkannya.
"Jadi.. boleh saya mulakan sekarang?"
"Muleh.. muleh" Sebatang rokok jenama PERILLYS dinyalakan serentak dengannya.
"Apa pendapat Encik Thomas tentang  kegiatan barangan tiruan yang dihasilkan pencipta masa kini?"
"Itu aa... waa!! itu olang manyak mangsat (bangsat) oo, olang sula susa-susa bikin dia punya balang, dia kasi tilu itu balang.. banyak kesian oo sama itu olang.. kalau wa aa, wa sula kasi tetak itu olang tilu punya sampai mati. Pantang wa punya nenek moyang olang tilu balang-balang. Wa punya bengkel pun tak ada balang tiluan.. Semua pun Oliginal"
Penulis tergelak riang. Ternyata responden kali ini begitu senang dibawa bicara.
"Kalau Encik Thomas, apa tindakan yang akan Encik Thomas ambil?"
Rokok yang ada disedut perlahan. Keadaan sepi untuk seketika.
"Wa aa? wa kasi tetak itu olang sampai mati!!!!" Seraya itu dia mencapai sebilah parang yang ada di sisinya dan dihala kearah penulis. Penulis kaget. 
"Encik Thomas... rileks... rileks... apesal emosional ni??!!"

ZAINUDIN ZAKARIA, 48 (CENTRAL MARKET, KL)
"Assalamualaikum" Penulis menyapa dengan memberi salam.
"Waalaikumsalam nak" salam dijawab.
"Pak cik, saya dari Suku Kata Terakhir™ GROUP, saya datang ni nak bincangkan isu tentang barangan ciplak yang makin banyak sekarang ni. Kalau tak keberatan, saya nak ambil masa pak cik sikit.. boleh?"
"InsyaAllah, pak cik cuba nak"  Penulis mengeluarkan buku catatan kecil dari beg sandang Boo Yod Republicnya.
"Apa pendapat pak cik tentang kegiatan barangan tiruan yang dihasilkan pencipta masa kini?"
"Pak cik rasa semua tu memang tak patutlah nak. Sebab kita masing-masing cari rezeki, untuk penuhi periuk nasi. Kalaupun rezeki tu tak banyak tapi sekurang-kurangnya biarlah dari jalan yang sah. Kalau pak cik nak kata menciplak ni haram dari segi Islam, pak cik tak pasti, tapi bukankah bagus kalau apa yang kita hasilkan dari jalan yang betul. Macam pak cik.. semua tikar-tikar mengkuang ni, isteri pak cik buat, memang rezeki tak seberapa, tapi sah jalannya. Kita sebagai manusia, tahu mana yang baik dan buruk, agama menjadi pendorong, janganlah kita sekat rezeki orang lain, janganlah kita ganggu rezeki orang lain, kalau si penciplak tu orang Islam, dia sepatutnya arif tentang hukumnya, kalaupun tak, dia tahu, agama dah menjadi panduan, tak usah di buat begitu" Seraut wajah yang dihiasi parut ketuaan itu menghabiskan bicaranya. Dia berhenti disitu.
Penulis begitu berpuas hati. Itulah jawapan yang diharapkannya. Jawapan bagi merungkai segala persoalan.

(SEPANG-PENULIS)
Jelaslah sudah, sememangnya mereplikakan barangan orang memang tidak wajar. Maaf jika sepanjang penulisan ini, turut tercatat bahasa kasar, maaf kerana ketelanjuran bahasa. Namun, hakikatnya pada orang sebegini, jika tidak juga berubah, memang itulah yang gelaran yang patut dihadiahkan pada mereka. Bangang, Sial, Jahanam, Bangsat. (MAAF AKAN BAHASA KASAR TERSEBUT)




STEREO MELANKOLIS/DANNY ALAMSYAH
Suku Kata Terakhir™ GROUP/ link to New Experience Generation™/ KLINIKITA DESIGN 2010™
Isu idea asal Danny Alamsyah Adriansyah- izin isu New Experience Generation (www.thenegcommunity.webs.com)