Saturday, October 9, 2010

PECINTA SEMENTARA

Kecewa. Sedih. Hanya itu yang dapat digambarkan oleh ekspressi wajah ketika kecundang dalam percintaan. Segalanya manis ketika masih bercinta. Segala apa yang tercipta semuanya indah belaka. Apa yang ingin disampaikan kali ini bukanlah kerana tewasnya dalam percintaan akibat perselisihan faham, pertengkaran mahupun curang. Tetapi apa yang dipersoalkan di sini ialah ketika anda berperanan sebagai "pecinta sementara" ketika bersama pasangan anda dalam mencipta hubungan.

"Pecinta sementara". Mungkin ramai yang akan keliru pabila mendengar dua perkataan ini. Apa maknanya yang sebenar? Apa mesej yang cuba disampaikan dalam perkataan ini? Dan mungkin juga apa peranan mereka yang diklasifikasikan sebagai "pecinta sementara" ?

Ketika anda sedang menghayati isu ini, bayangkan diri anda sendiri sedang menikmati betapa indahnya pesona dalam percintaan. Letakkan diri anda sebagai watak yang sedang bahagia dalam percintaan. Namun, pada hakikatnya pasangan anda sedang dikongsi bersama orang lain. Sedang dimiliki oleh orang lain pada masa yang sama. Ya, andalah "pecinta sementara" .

Anda berperanan sebagai orang ketiga. Anda hanyalah cinta yang datang sementara dalam hidupnya. Anda bukanlah kekasihnya yang sejati. Anda bukanlah cinta yang dianggapnya suci dan hebat di mata, tetapi anda hanyalah kekasih gelapnya. Jadi di sini, apakah cinta anda itu sesuatu yang benar?

Anda kenal benar tentang dirinya. Anda tahu akan rentak dan percaturan hidupnya. Anda terpikat dengan kemanisannya, gelak tawanya, senyumnya. Anda teringin sekali menyelam jauh ke dasar hatinya. Memilikinya adalah sesuatu yang anda impikan biarpun ia sekadar mimpi di siang hari kerana pada masa yang sama anda tahu si dia sudahpun berpunya. Cinta hadir tanpa dirancang. Cinta datang tanpa dipelawa. Anda bersama dengannya, anda mengucapkan cinta padanya saban malam, anda bersamanya hampir setiap detik. Semuanya diterima sekalipun perit.

Soal diri anda sendiri. Jauh ke dalam lubuk hati. Sanggupkah anda melihat si dia jatuh ke dalam pelukan kekasih hati? Mampukah anda bertahan hampir setiap waktu jika si dia merindukan kekasih hati? Mengagungkannya lebih dari segalanya? Tegarkah anda dalam percintaan ini walau pada akhirnya si dia tetap memilih kekasih hati? Bayangkan si dia bergalak ketawa, bermanja malah berkasihan bersama kekasih hatinya sedangkan anda bersendiri merinduinya. Menantinya dengan penuh rasa cinta, menunggunya dengan penuh kasih, bersabar menanti si dia menemani, mengisi hati anda sedangkan hakikatnya tiada sebarang ucapan daripada dia walaupun sekadar "selamat malam sayang" Dan ia bertambah pedih apabila anda cuba untuk menghubunginya. Anda mengharapkan rindu anda dibalas namun marah yang diterima. Alasan yang diberi, anda tidak dibenarkan mengganggu masanya. Bayangkan betapa hancurnya hati anda, betapa remuknya hati anda. Sakit, pedih, perit, deritanya bukan kepalang...

Anda telahpun terjerat dalam percintaan terlarang ini. Ya, memang sukar untuk anda berpatah balik, sukar untuk anda pulang kepada keadaan asal. Lupakan semuanya biarpun terpaksa. Relakan hati sekalipun tersiksa. Biarkan pengorbanan anda untuknya. Janganlah anda terus-terusan menjadi pelakon dalam sketsa percintaan ini yang mana akhirnya bertemankan air mata. Anda mampu mangharunginya. Semuanya kerana selama ini anda hanya mencintai bayang-bayang, sedarlah bahawa selama ini cinta anda dipandang sepi. Sedarlah bahawa di pengakhiran anda akan tewas jua. Jangan banggakan lagi cinta yang telah mati untuk anda. Dendam dan sakit hati hanya topik biasa. Penerimaan yang membezakan anda. Sama ada positif atau negatif. Ia merupakan senario biasa di alami oleh semua inan yang kecundang dalam bercinta. 

Bebaskan diri anda daripada belenggu cinta yang tidak berkesudahan ini kerana cinta akan hadir pada bila-bila waktu dan masa yang menentukannya. Lepaskan dia, sekalipun anda amat mencintainya. Kembalilah pada rutin normal dan jalani kehidupan seperti biasa. Banyakkan ibadah jika anda masih belum tenang dengannya. Maafkanlah dia. Biarpun anda tersiksa melihat si dia bahagia bersama kekasih hati kerana anda hanyalah "pecinta sementara"

PENULIS-SEPANG (1 OKTOBER 2010) 10.13 p.m
"Pada awalnya saya langsung tidak terfikir untuk menulis isu ini biarpun pada hakikatnya ia berkaitan dengan sejarah hidup saya. Namun ia berubah apabila saya menerima email daripada pembaca lama yang menceritakan tentang kisahnya seperti yang telah diketengahkan dalam isu ini. Ia benar-benar mengejutkan saya. Bagi saya, jika telah terikat dengan peranan "pecinta sementara" ada baiknya kita menyayangi dalam diam daripada berterus-terang"

DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH
Idea asal : Nisa Anissa Rahman
Olahan oleh : Danny Alamsyah  -    rovekick@yahoo.com
Izin isu oleh : Suku Kata Terakhir™ GROUP/ link to New Experience Generation™/ Klinikita Design™ 2010
(Sebarang cadangan boleh dinyatakan melalui www.thenegcommunity.webs.com)

No comments:

Post a Comment