Saturday, October 9, 2010

TERAPUNG TERBANG DI AWANGAN

Segalanya berubah. Dunia yang kosong terisi dengan kehadiran sesuatu yang bernama cinta. Sesiapa sahaja yang memiliki cinta akan terasa dirinya begitu bertuah, begitu bahagia, seolah-olah segalanya sudahpun mutlak kepunyaannya. Cinta. Satu perkataan. Satu sebutan. Namun ia tidak seringkas yang disangka, tidak semudah yang dijangka. Kompleks. Itu sahaja yang boleh digambarkan pabila kita memilikinya. Adakalanya cinta menjadi peneman suka, penghibur tatkala berduka. Cinta adakalanya menjadi penawar kepada segala kesakitan juga derita, hinggalah satu saat ia bertukar menjadi racun yang membawa bahana.

Seringkali cinta dikaitkan dengan kehidupan manusia. Sesuatu yang menjadi persoalan di sini, di mana letaknya harga sebuah cinta kini? Jika kita mempunyai pasangan cinta, soal hati, tanya diri, di mana kita letakkan ia? Renung jauh ke dalam hati. Cinta. Adakah pada nafsu semata atau hati? Cinta merangkumi pelbagai aspek. Namun cinta di dunia memerlukan tiga jenis rangka utama. Setia. Jujur, dan yang terakhir percaya.

Setia. Satu perkara yang senang untuk difahami. Ia merupakan tiang utama kepada satu-satu hubungan. Melalui setia, kita dapat mengenal jelas jauh ke dalam hati pasangan kita. Melalui setia, segala rintangan dapat di atasi. Dan melalui ia, kita kenal apa itu erti cinta. Kita boleh sayangkan sesiapa sahaja. Kita boleh kasihkan sesiapa sahaja. Namun tidak cinta kerana cinta hak milik mutlak kepada satu. Dan ia kekal hingga ke penghujung hayat kita. Cinta yang setia di bawa hingga ke liang lahad.

Jujur. Cinta perlukan kejujuran. Imbas kembali ketika anda sedang atau ketika pernah bercinta. Adakah anda benar-benar jujur pada pasangan anda? Atau anda hanya sekadar berkongsi suka dan duka? Anda menentang? Adakah kerana alasan pasangan anda tidak mendengar keluhan hati anda? Percaya atau tidak, jika anda jujur dalam setiap perkara ketika anda bercinta, pasangan anda akan melakukan perkara yang sama. Lelaki dan wanita mempunyai pemikiran yang berbeza. Jika anda seorang lelaki, ceritakan segalanya tentang diri anda, walaupun anda dikatakan bodoh oleh pasangan anda sendiri. Jangan merasa kecewa kerana wanita sentiasa mempunyai pandangan yang jauh dalam setiap perkara. Dan adakalanya mereka mungkin tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda cuba sampaikan. Cuba sampaikan mesej dalam setiap perkara yang anda ceritakan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan di hati pasangan anda kerana selaku lelaki anda bertindak sebagai pemimpin. Jika anda seorang wanita, cuba fahami segala yang cuba atau telah disampaikan pada anda. Jika ia menyakitkan hati anda, marah bukan jawapannya. Di sini, hati dan nafsu memainkan peranan. Buang ego anda. Hakikatnya hati lelaki lebih kompleks daripada wanita. Lebih rumit dan amat susah untuk difahami. Andalah yang mengisi hati mereka. Anda bertindak sebagai pendengar, penasihat, dan juga penghibur.

Percaya. Percaya merupakan aspek yang terpenting. Percaya pada pasangan anda. Inilah yang akan membantu anda dalam setiap perkara. Pasangan anda akan berasa selesa ketika bersama anda. Mereka tidak akan merungut. Sentiasa punya keyakinan yang tinggi pada pasangan anda. Perasaan sayang, kasih akan terbit dengan sendirinya melalui cara ini. Jangan merosakkan kepercayaan yang telah diberi. Wanita selalunya akan membiarkan lelaki menanti. Kaum ini penuh dengan helah hakikatnya. Namun helah yang mereka gunakan sebenarnya untuk menguji pasangan mereka. Dalam aspek ini, lelaki memainkan peranan yang sangat penting kerana lelaki selalunya tidak percayakan pasangan mereka. Yakin. Sayangi mereka merupakan satu cara bagi pihak wanita itu untuk membalas perkara yang sama dalam setiap perkara yang anda lakukan.

Dalam konteks Islam, cinta merupakan sesuatu yang suci. Ia lahir melalui hati. Dan ia tidak akan pernah terbit melalui nafsu. Lelaki merupakan pelindung. Wanita pula melengkapkan segalanya. Dua kaum ini saling memerlukan. Anda fikirkan sendiri kembali, soalan yang sama, di mana anda letakkan harga cinta anda? Jika anda seorang lelaki, kenapa anda merosakkan cinta anda dan tegar dalam menukarkan ia menjadi nafsu? Jika anda seorang perempuan, kenapa anda tergamak dalam melukai hati seorang lelaki? Lelaki sanggup melakukan apa sahaja jika dia benar-benar menyayangi seorang wanita itu. Dan tidakkah anda tahu, kelemahan paling besar seorang lelaki itu wanita?

(SEPANG-PENULIS)
"Saya sendiri pernah merasai semua itu biarpun hanya untuk sekali. Saya pernah kenal apa itu cinta. Walaupun mungkin bukan secara mendalam, namun saya tahu akan kemanisannya, tahu akan kepahitannya. Secara jujur, pabila cinta menguasai diri saya, saya tidak kenal apa itu putus asa, saya sentiasa tabah dalam melakukan segala hal kerana saya tahu hasilnya berbaloi. Saya gagal dalam percintaan yang pertama itu, namun saya letakkannya di hati, saya lepaskannya. Dan saya benarkan segala luka itu berlalu pergi, saya biarkan kasih yang masih tertinggal itu berbekas dalam hati. Saya biarkan rindu itu mengharmonikan diri saya. Satu sebabnya, untuk pertama kali, saya merasai sesuatu yang benar-benar lahir dari hati, bukan dari nafsu. Satu perkara yang perlu untuk difahami, kadangkala cinta bukan ditakdirkan untuk dimiliki. Biarkan jika bekas pasangan kita tidak memahaminya. Cukup sekadar kita yang mengerti. Adakalanya kita perlu berkorban, biarpun pada akhirnya kita yang terseksa. Biarkan ia pergi, mencari cinta yang baru. Kita sendiri akan merasai kebahagiannya pabila senyuman terukir di bibirnya."

Isu ini diterbitkan khas pada mereka yang sedang atau pernah bercinta. Fahamilah ia secara mendalam. Cinta bukan perkara yang boleh dibuat mainan. Ia sesuatu yang suci. Jangan tukarkan ia menjadi sesuatu yang boleh dibisik iblis. Cinta yang ikhlas akan diredhai Tuhan. Dan akan berakhir dengan perkahwinan.

"Lelaki itu prosa alam, perempuan pula sajaknya,
    Cinta itu lagu, dan perkahwinan itu orkestranya"

  DANNY ALAMSYAH ADRIANSYAH/ STEREO MELANKOLIS
Idea asal oleh Danny Alamsyah Adriansyah - SUKU KATA TERAKHIR GROUP™
izin terbit oleh New Experience Generation™/ Klinikita Design™ 2010
Sebarang cadangan/ maklum balas digalakkan melalui www.thenegcommunity.webs.com

No comments:

Post a Comment